BIJAKSANA TELUS DAN INTEGRITI

SEJARAH PENUBUHAN

Pejabat Pelajaran Daerah Tumpat telah ditubuhkan pada 16 Februari 2008 di bawah penyusunan semula Pejabat Pelajaran Daerah Semenanjung Malaysia. Beroperasi di bangunan tiga tingkat Sekolah Kebangsaan Tumpat dengan kakitangan seramai lima orang pegawai dan empat orang staf sokongan.

Pejabat Pelajaran Daerah Tumpat yang terletak lebih kurang 0.8 km dari Bandar Tumpat mula beroperasi secara rasmi pada bulan Jun 2008 apabila Pejabat Pelajaran Daerah Pasir Mas memberi kuasa kepada PPD Tumpat mengurus sendiri hal pertukaran murid dan guru. Bagaimanapun pengurusan kewangan masih beroperasi di PPD Pasir Mas.

Pada awal penubuhan, Pejabat Pelajaran Daerah Tumpat ditadbir lima pegawai dan empat kakitangan sokongan. Pegawai Pelajaran Daerah pertama iaitu  En. Zakaria bin Awang Chik mula menjalankan tugas pada 16 Mei 2008.  Beliau dibantu oleh En. Abdul Kadir bin Yaacob selaku Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Pengurusan Sekolah dan kemanusiaan. Manakala En. Muhamad Azian bin Jaafar selaku Penolong Pegawai Pelajaran Daerah yang bertanggungjawab dalam Pengurusan Akademik. Mereka dibantu oleh dua orang Penyelia Pelajaran Kanan iaitu Tuan Haji Mansor bin Yusoff (Pengurusan Sekolah Rendah) dan Tuan Haji  Che Yussoff  bin Mamat (Pengurusan Peperiksaan). Kakitangan sokongan pula ialah En. Nik Omar bin Dollah Pembantu Tadbir, diikuti oleh Pn. Faridah bt Ibrahim Ketua Pembantu Tadbir dan Wan Mohamad bin Wan Ismail Pembantu Am Pejabat serta Sa’ari bin Mamat.

Setelah Pejabat Pelajaran Daerah Tumpat beroperasi lima bulan, beberapa kelemahan telah dikenalpasti antaranya kekurangan pegawai, ketiadaan peralatan ICT dan prasarana pejabat tidak sempurna. Di atas keprihatinan Jabatan Pelajaran Kelantan pada 1 Julai 2008, lima orang pegawai baru dilantik secara pentadbiran bagi mengatasi masalah kekurangan pegawai. Pegawai berkenaan ialah Hj. Mat. Razi bin Mat Ail Pegawai Khas Kemanusiaan, En. Wan Zamri bin Wan Ibrahim Pegawai Khas Akademik, En. Hashim bin Mamat Pegawai Khas Data dan Peperiksaan, Tuan Haji Johari bin Abdullah Pegawai Khas Perhubungan Aduan dan En. Zamri bin Mukhtar Pembantu Khas Sukan Kokurikulum.

Dalam masa yang sama Jabatan Pelajaran Kelantan telah meluluskan peruntukan untuk naik taraf bangunan yang lebih selesa bagi menempatkan pegawai. Dengan adanya pegawai-pegawai tambahan dan prasarana yang lengkap, Pejabat Pelajaran Daerah Tumpat akan meneruskan operasinya bagi mencapai visi dan misi menjelang 2012.

 


Marquee Powered By Know How Media.