Kerja Projek Matematik tambahan PDF Print
Written by Zabidah binti Muhammad   
Tuesday, 04 December 2012 05:41

Garis Panduan Am Mengenai Pelaksanaan Kerja Projek Matematik Tambahan (KPMT) 2012

Setiap murid yang mengambil Matematik Tambahan diperlukan untuk menjalankan kerja projek semasa mereka di Tingkatan 5. Murid dikehendaki memilih dan melaksanakan SATU daripada DUA tugasan yang diberikan berdasarkan minat mereka. Setelah melaksanakan Kerja Projek matematik Tambahan, adalah diharapkan agar murid akan dapat pengalaman yang berharga dan dapat:

  1. Mengaplikasi dan mengadaptasikan pelbagai strategi penyelesaian masalah untuk menyelesaikan masalah rutin dan bukan rutin.
  2. Melalui pengalaman pembelajaran:

    *yang mencabar, menarik dan bermakna dan seterusnya meningkatkan                
      kemahiran berfikir mereka;
    *di mana pengetahuan dan kemahiran digunakan dengan                                  
      cara yang bermakna menyelesaikan masalah kehidupan sebenar.
    *di mana mengekspresikan pemikiran matematik,   
      penaakulan dan komunikasi amat digalakkan dan dituntut; dan
    *yang meransang dan meningkatkan pembelajaran yang berkesan.

  3. Memperolehi kemahiran berkomunikasi dalam matematik yang berkesan secara lisan dan bertulis dan menggunakan bahasa matematik untuk mengekpresikan idea matematik dengan betul dan tepat;
  4. Meningkatkan minat dan keyakinan serta mengukuhkan pengetahuan dan kemahiran matematik melalui mengaplikasian pelbagai strategi penyelesaian masalah;
  5. Membentuk pengetahuan dan kemahiran yang berguna untuk kerjaya dan masa depan;
  6. Menyedari bahawa matematik adalah satu bidang ilmu yang penting dalam menyelesaikan masalah kehidupan sebenar dan seterusnya menerapkan sikap positif terhadap matematik;
  7. Melatih diri mereka bukan sahaja untuk belajar secara berdikari tetapi juga untuk berkolaborasi, bekerjasama dan berkongsi pengetahuan dalam persekitaran yang bermanfaat dan sihat;
  8. menggunakan teknologi khususnya TMK secara bersesuaian dan berkesan;
  9. Melatih diri untuk menghargai nilai-nilai intrinsik matematik dan menjadi lebih kreatif dan inivatif; dan
  10. menyedari kepentingan dan keindahan matematik.

Kerja projek boleh dilaksanakan dalam kumpulan atau individu, tetapi setiap murid perlu mengemukakan laporan bertulis secara individu yang ditanda dan digred oleh guru berdasarkan rubrik yang dibekalkan bersama tugasan. Wajaran yang tinggi diperuntukkan kepada pengaplikasian proses matematik seperti penaakulan, membuat perkaitan, berkomunikasi secara matematik, perwakilan dan menggunakan teknologi. Murid perlu menyedari bahawa proses matematik yang dilaksanakan semasa menyelesaikan tugasan KPMT, adalah sama penting dengan mencari jawapan yang betul. Oleh itu, adalah penting bagi guru untuk berubah daripada melaksanakan pengajaran dan pembelajaran secara tradisional dan mereka perlu meluangkan masa untuk perkara-perkara berikut:

  1. Memantau murid supaya mereka bukan sahaja bekerja keras ke arah menyiapkan tugasan tersebut tetapi juga bekerjasama dengan murid lain secara kolaboratif dan berkesan;
  2. Menggalakkan sumbangsaran idea dalam menyelesaikan tugasan;
  3. Menjawab soalan, memberi cadangan dan memberi panduan kepada murid sekiranya diperlukan tetapi bukan sehingga memberikan jawapan secara langsung;
  4. Mentafsir dan menilai proses dan kemajuan murid sepanjang masa;
  5. Memberi panduan dan menggalakkan murid menjalankan penyelidikan, termasuk bagaimana untuk menggunakan sumber secara berkesan;
  6. Memastikan murid sentiasa fokus dan berminat kepada tugasan yang perlu diselesaikan;
  7. Memberi masa yang secukupnya (3 minggu) kepada murid untuk menyelesaikan tugasan.

Murid perlu melaksanakan tugasan kerja projek (termasuk penulisan laporan bertulis secara individu) dalam tempoh 3 MINGGU dari hari pertama tugasan diberikan kepada mereka. Kegagalan untuk mengemukakan laporan bertulis akan menyebabkan murid tidak akan menerima apa-apa perakuan dan sijil.

 Unit Matematik Menengah
Bahagian Pembangunan Kurikulum
Kementerian Pelajaran Malaysia

 

 

Last Updated on Wednesday, 05 December 2012 02:23
 
RizVN Login